Saturday, December 5, 2009

Matematik dalam Pendidikan Khas



Konsep Matematik ialah satu bahasa istimewa dan penting yang harus dipelajari oleh semua orang. Jika kita hendak menguasai bahasa bidang tersebut cara dan teknik Matematik itu harus diketahui. Sebagai Guru Pendidikan Khas kita patut sentiasa berusaha mengatasi masalah pembelajaran murid-murid yang lemah dalam pembelajaran Matematik. Kemahiran-kemahiran asas seperti nombor, operasi tambah, tolak, operasi darab dan operasi bahagi merupakan kemahiran yang patut dikuasai oleh murid. Sebelum kita memulakan sebarang rancangan untuk membantu anak didik kita, kita patut mengenalpasti tahap kemahiran Matematik murid-murid yang memerlukan kelas pembelajaran khas Matematik.

Saya akan memeriksa Rancangan Pendidikan Individu (RPI) murid terlebih dahulu untuk mengenalpasti samaada umur mental murid selaras dengan umur kronologi mereka. Pada kebiasaannya murid yang kekurangan kesediaan belajar mempunyai umur mental yang kurang daripada umur kronologi. Contohnya mungkin seorang murid yang berusia 7 tahun hanya mempunyai umur mental 4 tahun sahaja. Ini menyebabkan mereka tidak bersedia untuk pengajaran dan pembelajaran Matematik secara formal. Oleh kerana itu, kita perlu mengajar kemahiran pra-nombor seperti pengelasan objek ikut warna. Rancangan Pendidikan Individu patut dirancang dan dilaksanakan semula.

Seterusnya, kita bolehlah menguji konsep dan generalisasi murid demi mengetahui tahap pengetahuan murid. Kita bolehlah mengadakan ujian ringkas ataupun temuramah samaada dengan murid itu sendiri ataupun ibu bapa dan penjaga murid berkenaan. Kaedah ini juga memudahkan kita dalam penyediaan Rancangan Pendidikan Individu (RPI) yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan murid agar tidak menyeleweng daripada objektif utama kita untuk membantu murid supaya tidak tercicir dalam matapelajaran Matematik yang agak penting ini dalam kehidupan seharian murid.

Tambahan lagi, tahap kemahiran murid dalam penguasaan Matematik boleh juga dikenalpasti sekiranya guru merujuk teori perkembangan kognitif Piaget. Seperti yang kita semua sedia maklum, terdapat 4 peringkat perkembangan: peringkat pertama- peringkat deria motor (0 – 2 tahun), peringkat kedua-peringkat pra-operasi (2 – 7 tahun), peringkat ketiga-peringkat operasi konkrit (7 – 11 tahun) dan peringkat keempat- peringkat operasi formal (11 tahun ke atas). Oleh kerana itu sebagai seorang guru yang prihatin, kita patut mengambil kira aras kefahaman murid berdasarkan perkembangan murid pada setiap peringkat tersebut bagi menentukan tahap kemahiran murid.

Ujian diagnostik digunakan untuk mengesan punca kelemahan murid tentang penguasaan murid dalam kemahiran Matematik. Berdasarkan kepada ujian diagnostik, guru dapat merancang aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran dengan berkesan. Antara aspek-aspek yang boleh diuji dalam ujian diagnostik ialah pengamatan, penglihatan dan pendengaran. Suatu ujian diagnostik dikatakan bermutu sekiranya ia mengandungi ciri-ciri yang tinggi daripada aspek kebolehpercayaan, kesahan, keobjektifan, kebolehtadbiran dan kemudahtafsiran.

Tahap kemahiran murid dalam Matematik boleh juga dikesan melalui kaedah analisis hasilkerja murid. Kelemahan murid dapat dikesan dan dianalisis melalui pemerhatian hasilkerja murid. Pada kebiasaannya masalah pembelajaran yang dapat dikesan ialah masalah visual-persepsi murid, masalah kordinasi mata-tangan dan masalah menulis serta mengecam nombor. Masalah murid yang paling mudah dikesan melalui kaedah ini ialah masalah kordinasi mata-tangan kerana biasanya murid cenderung menulis nombor secara terbalik.

Tahap kemahiran Matematik kanak-kanak juga boleh dicungkil melalui kaedah pemerhatian. Kaedah ini selaras dengan kaedah Montessori yang menekankan guru memerhatikan interaksi kanak-kanak dengan persekitaran. Contohnya, hasil pemerhatian saya selama 3 bulan di Sekolah A murid autisme suka mencari dan mengumpul objek yang mempunyai satu warna. Ini merupakan salah satu kelemahan murid yang dikenalpasti iaitu tidak dapat mengelaskan objek yang mempunyai lebih daripada satu warna dalam kemahiran pra-nombor.

Kaedah yang seterusnya untuk mengenalpasti kelemahan murid dalam Matematik ialah menerusi terapi seni. Terapi seni ialah satu jenis pemulihan menggunakan gambar yang dilukis oleh murid. Ini kerana gambar yang dilukis oleh murid adalah lebih membantu kita mengenali murid. Gambar adalah simbol unik yang membantu guru memasuki alam sedar murid. Kaedah ini boleh membantu guru mengesan masalah psikologi murid yang menghalangnya daripada maju dalam matapelajaran Matematik. Contohnya, ada seorang kanak-kanak di sekolah tertentu dilaporkan dalam akhbar Utusan apabila diperiksa buku latihannya, ada lukisan meja pada setiap helaian buku. Setelah didekati, rupa-rupanya kanak-kanak itu merupakan seorang pintar-cerdas dalam Matematik yang tidak sesuai untuk belajar dalam kelas tersebut sebaliknya dia patut diinklusifkan sekiranya berpeluang.

Tahap kemahiran murid dalam Matematik daripada segi masalah ketajaman pendengaran atau penglihatan boleh dikesan menerusi penelitian petanda, ujian diagnosis dan pengesahan doktor. Gejala murid bermasalah pendengaran ialah kurang bercakap, sebutan kabur, cepat bosan, telinga bernanah, kaku dan sama ada cakap terlalu kuat atau terlalu perlahan. Gejala murid bermasalah penglihatan pula ialah selalu tersungkur, suka gosok biji mata, suka kelip mata, tidak dapat membezakan bentuk-bantuk yang hampir sama, suka mendekatkan mata kepada bentuk yang dilihat, mengecilkan mata semasa melihat sesuatu, suka hulur kepala ke depan dan mata merah. Terdapat 5 jenis ujian diagnosis pendengaran:
i. Refleks orientasi
ii. Teknik pengalih perhatian
iii. Teknik pelaziman
iv. Gerakbalas kepada percakapan
v. Audiometer
Murid kita mungkin juga mengalami pekak terhalang disebabkan atresia, eksternal otitis, terlalu banyak tahi telinga,otitis media, lelangit rekah dan dysacusis. Ini semua akan menyebabkan proses P & P tidak dapat disampaikan secara efisien kepada murid. Guru mungkin hanya bercakap seorang sama ada dia sedar ataupun tidak. Tambahan lagi, kanak-kanak sindrom down juga berisiko mengalami pekak pengamatan yang menyebabkan mereka bodoh dan bentuk matanya sepet. Kanak-kanak yang menghidap Hurler’s Sindrom pula dilahirkan terencat akal. Bentuk badan mereka pendek, rambut kasar dan mulut ternganga. Kanak-kanak Pendred’s sindrom pula dilahirkan rencat akal dan kelenjar gondok besar manakala kanak-kanak Waardenberg Sindrom dilahirkan balar. Kulit, rambut serta semua bulu roma warna putih. Banana sindrom pula adalah sejenis sindrom di mana kanak-kanak tidak dapat mendengar sesetengah intonasi sukukata dalam sepatah perkataan. Contohnya, perkataan “MENAMPAKKAN” didengar sebagai “ME....AN”. Kesemua sindrom pekak adalah berkaitan dengan kerencatan akal akibat gen yang lemah. Masalah penglihatan murid pula dibahagikan kepada 11 iaitu rabun jauh,rabun dekat,astigmatisme, glaukoma, katarak, kencing manis, coloboma, retinitis pigmentosa,retrolensa fibroplasias,strabismus dan nystagmus. Kecacatan penglihatan ataupun pendengaran kadang-kala disalahtafsirkan oleh para guru sebagai sengaja dibuat-buat oleh murid dan ini membantutkan proses P & P. Para guru membuta tuli menuduh murid bersikap negatif dan murid pula menyalahkan guru mengabaikan mereka. Oleh kerana itu, pada masa ini pengesahan doktor perubatan merupakan kunci kepada jawapan terhadap permasalahan ini.

Kesimpulannya, Matematik merupakan salah satu daripada matapelajaran yang agak penting kepada kita semua kerana kita mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian kita sama ada kita sedar ataupun tidak. Contohnya, dalam urusan jualbeli di kedai runcit. Untuk kanak-kanak khas pula sebelum kita memulakan sebarang rancangan pelajaran untuk mereka adalah wajar kita mengenalpasti tahap kemahiran murid terlebih dahulu samaada menerusi Rancnagan Pendidikan Individu, ujian, teori Piaget, analisis hasilkerja murid, pemerhatian, terapi seni dan menerusi ujian ketajaman penglihatan ataupun pendengaran. Lantaran itu, kita sebagai guru Pendidikan Khas patut sentiasa peka terhadap teknik-teknik menggunakan kemahiran tersebut demi memastikan agar kita benar-benar menjadi guru yang efisien, cekap dan amanah
.

Rujukan

Joan M Harwell & Rebecca Williams (2008). THE COMPLETE LEARNING DISABILITIES HANDBOOK. John Wiley & Sons.

Kaedah Pembelajaran Khas Matematik dalam
www.oum.edu.my (muat turun pada 13 November 2009)
Allardice, B.S., & Ginsburg, H.P. (1983). Children's psychological difficulties in mathematics. In Ginsburg, H.P. (Ed.) The development of mathematical thinking. New York: Academic Press.

1 comment:

  1. semenjak menjadi guru pk ni hati saya lebih tenang...istimewanya saya dapat mengajar murid sebegini...tidak semua guru berpeluang mengajar mereka

    ReplyDelete